Friday, May 6, 2011

siap sudah satu siksaan..ada lagi

Assalamualaikum diari



Ari nih... alhamdulillah...lega sesangat pasal dah siap satu dari 4 assignment yang perlu aku hantar bulan depan. Untuk subject penulisan... satu assignment sudah setel. Autobiografi... penat nak pikior bende2 yang lepas. Aku just taip je ikut ati..... lom pun cek bebetul. Laa ni cuma tinggal essai perbahasan mengenai Altruisme laaa plak. masih lom buat rangka-rangkanya lagi pun aku perlu dapatkan pandangan umum mengenai tajuk tu dulu.





Cadang nak letak autobiografi tu kat sini pasal nak mintak pendapat apa yang perlu ditukar, dibuang dan ditokok tambah. Ate lama dah tak menulis.... kompom... tak tajam dah penselnya ye dok.


Aku letak yeeee..... (pesanan buat along, ko jangan baca entri aku yang nih.... gi main jejauh).

Pengenalan kehidupan


Aku dilahirkan pada 10 januari 1978, 33 tahun yang lalu di Hospital Kajang, Selangor. Seperti yang diceritakan oleh orang tuaku, kelahiranku di Hospital Kajang bersebab. Semua sanak saudara dan keluargaku berada di kampung iaitu Semenyih, salah satu daerah jajahan Kajang untuk menghadiri kenduri doa selamat. Sedang rancak kenduri berjalan, tiba-tiba suasana digawatkan oleh jeritan emakku yang menunjukkan sudah sampai masanya untuk dia melahirkan. Kelakar bila diingatkan kembali. Beberapa hari selepas kelahiranku, ayah membawa kami pulang semula ke Kuala Lumpur.

Kampung Chubadak, Sentul Pasar, Kuala Lumpur. Di situlah tempat aku dibesarkan. Sebuah rumah setinggan bersaiz sederhana, cukup-cukup untuk menampung penghuninya yang ketika itu hanya lima orang. Aku bukanlah dari keluarga yang bertuah, kaya raya, penuh dengan segala macam kemewahan materi. Keluarga kami amat sederhana namun aku tetap dan amat bersyukur kerana walaupun kami sekeluarga kurang dari segi materi namun penuh dilimpahi kasih sayang.

Ayah hanyalah seorang kerani tiket di syarikat Bas Sri Jaya, syarikat bas yang terkenal di Kuala Lumpur pada waktu itu. Gaji ayah pada masa itu hanyalah sebanyak RM250.00 sahaja. Hidup di kota Kuala Lumpur dengan pendapatan yang begitu, sebenarnya amat menyeksakan. Sebab itulah ayah terlampau obses dengan kerja lebih masa. Masa senggang ayah lebih di pejabat, membuat kerja lebih masa demi mencari sesuap nasi untuk isteri dan anak-anak di rumah, tambah pula selepas kelahiran adik lelakiku lima tahun kemudiannya dan kemasukan kakakku ke asrama penuh.

Emak pula adalah seorang pesakit skizofrenia iaitu sejenis penyakit mental. Penyakit Skizofrenia sering kali digambarkan sebagai simptom 'positif' dan 'negatif'. 'Simptom positif' adalah simptom yang tidak ada dalam diri individu normal, tetapi terdapat dalam diri individu yang menghidapi skizofrenia. Antara simptom 'positif' termasuk delusi, halusinasi, gangguan pemikiran (thought disorder) dan lain-lain. Hanya pesakit skizofrenia sahaja yang akan mengalami perkara sebegini. Simptom negatif pula adalah simptom yang sepatutnya ada dalam diri individu normal tetapi tidak ada dalam diri pesakit skizofrenia. Antara contoh bagi simptom negatif ialah kelembapan aktiviti kognitif, tidak bermotivasi, kesukaran dalam bertutur dan lain-lain.

Emak mula mendapat penyakit itu setelah kelahiran kakakku yang sulung dan keadaannya semakin lama semakin teruk. Ada masa-masanya emak akan mengalami halusinasinya itu dan kadangkala jika nasib tidak baik, emak akan mengamuk. Pernah ayah dan aku dikejar emak keliling rumah dengan parang panjang sewaktu sakitnya itu datang. Namun, sakit emak bukannya datang selalu. Emak masih boleh mengurus rumahtangga dan menolong ayah dalam mencari rezeki. Emak juga amat menekankan pendidikan duniawi dan ukhrawi kami adik beradik. Kami adik beradik, masing-masing telah diletak syarat supaya mengkhatamkan AlQuran seawal 10 tahun. Alhamdulillah, syukur aku dapat mematuhi syarat emak itu.

Untuk mengurangkan beban ayah, emak dan aku berpakat untuk membuat kuih muih, nasi lemak dan juadah lain untuk dijual di pejabat ayah. Ayah menyatakan persetujuannya dengan senyuman dan pandangan terharu. Sewaktu aku berumur sepuluh tahun, bermulalah episod aku menjadi pembantu tukang masak kepada emak. Setiap sebelum Subuh, bermulalah rutin harian kami bertiga. Emak sibuk memasak nasi lemak, ayah menggoreng tauhu sumbat dan keria sementelah aku pula akan mengelim karipap dan kemudian membungkus nasi lemak. Tugas-tugas itulah yang kami gilirkan setiap hari. Seusai semuanya termasuk solat, buru-buru aku dan ayah bersiap. Ayah akan ke pejabat dengan membawa beberapa juadah untuk dijual sementelah aku pula akan berjalan kaki sejauh empat kilometer ke sekolah kebangsaan. Di sesi petang, akan berjalan sejauh 2 kilometer untuk pergi ke sekolah agama pula. Sebab itulah, kepulangan kakak sulungku dari asrama setiap hujung bulan amat aku nanti-nantikan kerana akan waktu itu akan kuranglah sikit beban kerjaku di rumah.

Semenjak sekolah rendah lagi, aku telah diajar berdikari. Menolong menjual kuih pada hujung minggu, membayar bil-bil utiliti, membayar yuran sekolah malahan tugas membayar yuran kakak yang ketika itu telah menganjak remaja pun tergalas di bahuku. Memang terkadang, lancang mulut ini merungut tentang kononnya ketidak adilan ayah dalam mengaturkan dan menjadualkan hidup aku. Tapi ayah hanya menjawab, “Kak Lang, belajar banyak-banyak untuk bersabar, ada sebab ayah suruh Kak Lang. Lagipun, Kak Lang tak suka ke bila orang yang Kak Lang sayang terbela dan gembira?” Soalan dibalas dengan soalan, lantas aku cuma diam.

Remaja, zaman yang penuh misteri
Walaupun keputusan UPSR aku baik, namun aku tidak dibenarkan ke sekolah asrama penuh atas alasan tiada yang akan menjaga emak sewaktu diperlukan. Dalam terpaksa, aku hanya menurut sementelah siapalah aku, hanya seorang anak dan paling penting aku tak mahu melawan kata orang tua.

Zaman remajaku di sekolah tak banyak beza dengan remaja-remaja yang lain. Padat dengan menghadiri kelas dan petangnya pula akkan menghabiskan dengan aktiviti kokurikulum seperti bermain hoki, berlatih pidato dan kadang-kadang menghadiri pertemuan Kelab beruniform.

Pada 16 Januari 1995, genap sebulan selepas walimah kakakku yang sulung, enam hari selepas ulang tahunku yang ke 17 dan kebetulan tahun itu juga adalah tahun aku menduduki Sijil Pelajaran Malaysia, ayah telah pulang ke rahmatullah. Pemergian ayah amat memberi kesan mendalam kepada diriku sementelah kami berdua amat rapat. Aku menjadi agak pendiam, selalu tidak datang ke sekolah sementelah diri penat dengan menjaga emak dan menguruskan adikku yang masih bersekolah rendah. Berapa sangatlah yang boleh dibantu oleh kakakku tambahan lagi statusnya sebagai isteri yang sentiasa memerlukan keizinan suami dalam segala hal. Aku bekerja sambilan untuk memenuhi kelangsungan hidup kami. Seusai sekolah di sesi pagi, aku akan bergegas balik ke rumah dan bersiap untuk ke tempat kerja di Kompleks Pertama. Bekerja di sana hingga ke malam. Natijahnya, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia aku hanya cukup-cukup makan sahaja namun masih boleh melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam sekiranya berkeinginan.

Siapa yang tidak berkehendakkan ilmu dan kertas berharga yang dikenali sebagai Ijazah? Jauh di sudut hati, aku amat terkilan dengan takdir yang telah teratur untuk aku di ketika itu. Siapa yang akan menjaga emak yang sakit? Siapa yang akan menjaga adik lelaki ku yang waktu itu masih lagi belajar? Ingin harapkan kakakku yang dah berkahwin? Dia sendiri punya tanggungjawab menjaga ibu mertuanya di samping kerja dan menuruskan rumahtangganya. Ingin harapkan abangku? Memang aku sendiri tidak berasa yakin akan wibawanya. Atas sebab itulah, aku mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pelajaranku. Aku perlu bekerja untuk menyambung tugas arwah ayah sebagai pencari rezeki dan ketua keluarga. Masa remaja selepas zaman persekolahan kurasakan tiada. Aku tak pernah dan tidak ada masapun untuk pergi berhibur, berlibur apatah lagi bersuka ria dengan teman-teman kerana masa senggangku lebih banyak dihabiskan di pejabat, membuat kerja lebih masa.

Selepas adik lelakiku tamat sekolah iaitu sekitar tahun 1998, bebananku semakin berkurang. Sekurang-kurangnya, aku tidak perlu risau mengenai segala macam bayaran yuran itu dan ini yang perlu disediakan untuk adikku lagi. Hanya perlu lebih memfokuskan tentang kondisi kesihatan emak yang waktu itu juga semakin menunjukkan peningkatan. Atas sebab itu juga, aku rasakan perlu untuk membuat sesuatu untuk diri aku sendiri.

Setelah sekian lama aku tidak menghabiskan masa senggangku di luar, aku memberanikan diri menyertai Askar Wataniah Skuadron 10 di Mindef, Jalan Semarak Kuala Lumpur. Sememangnya aktiviti lasak adalah kegemaranku dari dulu. Setiap hari Selasa, aku diberi pelepasan oleh pihak syarikat (atas arahan Kementerian Pertahanan) untuk menjalani latihan di Mindef. Manakala setiap dua minggu pula, aku akan mengikuti latihan luar kem bersama anggota-anggota yang lain. Di sini jugalah aku berkenalan dengan seorang pakar motivasi yang dahulunya juga seorang askar. Namanya Suffian Ali, kugelarkan dirinya sebagai abah. Dia mengajak aku mengikutinya menjadi jurulatih rekreasi di bawah Jabatan Belia dan Sukan, Kampung Pandan. Disebabkan minat dengan keindahan alam dan aktiviti lasak, aku dengan mudah menyetujui tawarannya itu. Aku menerima tawaran abah bukan kerana tidak suka menjadi askar wataniah, namun displin yang amat tinggi di kem, membuatkan aku sedikit bosan. Pernah sekali, but yang ku pakai kurang berkilat, sarjan yang menjaga kawat menyuruhku keluar dari barisan dan membersihkan but ku itu pada waktu itu juga. Yang menyakitkan hati adalah cara pembersihannya, aku disuruh mengilatkan but ku dengan menggunakan lidah. Nasib baik, ada dua tiga orang anggota lain didenda sama denganku. Kuranglah sedikit malu.

Mengenal erti kedewasaan
Sekenalnya aku dengan abah, kenal jugalah aku kepada aktiviti-aktiviti baru seperti teater, puisi dan penulisan. Aku mula menulis secara aktit di sebuah kumpulan sosial laman maya yang dikenal sebagai Relexjap. Mana tugas harian di pejabat, tugas sebagai anak dan ketua keluarga di rumah dan aktiviti sampingan yang telah aku aku sendiri pilih. Namun untuk membahagikan segalanya dengan baik, aku hanya akan mengikut abah beserta rakan jurulatih yang lain dalam menguruskan aktiviti-aktiviti rekreasi dan motivasi yang selalunya melibatkan kakitangan awam kerajaan, sebagai jurulatih hanya bila khidmatku diperlukan. Untuk itu, aku akan dibayar sebanyak RM120.00 sehari. Agak lumayan bagiku pada waktu itu. Masa aku semakin padat, kepuasan terasa namun bagai ada yang masih kurang. Percaya atau tidak, aku ini bukanlah hamba yang baik. Walaupun didikan agama telah diterapkan sejak kecil namun setelah meningkat dewasa, setelah punyai akal sendiri kononnya, solat yang fardhu amat jarang aku lakukan, yang sunat apatah lagi. Memang nampak dari kacamata luar, aku menunaikan tanggungjawabku sebagai anak dan ketua keluarga yang bagus. Namun sebenarnya aku bukanlah melakukan semua itu dengan rasa ikhlas. Selalu juga pertanyaan-pertanyaan emak tidak aku jawab dengan lembut. Aku hanya fikirkan tanggungjawab yang tergalas di bahuku malah terkadang akal jahat sengaja memberitahuku bahawa semua yang kulakukan itu adalah beban.

Alhamdulillah, hidayah dan taufik Allah datang tatkala aku betul-betul memerlukannya. Sewaktu aku terpilih untuk menjalani kursus kepimpinan di AmAssurance pada tahun 2001, aku berkenalan dengan seorang pakar motivasi dari Singapura. Namanya Masagos Zainuddin. Beliau mengajakku berborak atau lebih sesuai dipanggil dengan istilah berdebat seusai sesi motivasi para peserta. Tidak tahu kenapa dia mengajak aku tapi mungkin itulah jalan yang telah ditentukanNya. Kami berdebat mengenai perkara panas (sekurang-kurangnya pada aku) iaitu mengenai ikhlas. Mungkin ianya sebagai sambungan dari sesi motivasinya sebelum itu yang berkisar mengenai tanggungjawab seorang pemimpin. Aku pula salah seorang peserta yang banyak bertanya dan mungkin sedikit mempertikaikan tentang intipati yang disampaikan oleh beliau. Dalam sesi bualan kami itu, entah bagaimana, aku tersedar kembali bila dikejutkan dari lena yang panjang oleh kata-kata beliau. “Azira, solat itu adalah perkara yang membezakan antara seorang Islam dan kafir. Bermulalah kamu dengan solat, insyaAllah pasti segala persoalan kamu itu akan terjawab.” Aduh!! Bagai seketul batu besar terhempap di atas kepalaku. Mana taknya, macam tau-tau je muallaf ini dengan perkara yang selalu aku lupa atau buat-buat lupa.

Semenjak itu, aku mula mencari yang hilang dan menggantikan apa yang dah aku tinggalkan dulu. Cuba memperbaiki diri dengan mencari dan menambah ilmu agama di dada dan berusaha menjadi seorang yang lebih penyabar dan ikhlas. Doa sentiasa kutitipkan padaNya agar aku menjadi hamba dan anak yang diredhai kedua ibu bapaku. Alhamdulillah, terasa aku akan perubahannya. Aku makin rapat dengan emak. Aku makin mengerti akan perasaan emak. Memang kematian ayah memberi kesan yang hebat kepada diriku lantaran aku amat rapat dengan arwah, tapi aku sebenarnya lupa. Lupa yang sebenar-benarnya emak lebih lagi menerima tamparan. Masakan tidak, mereka telah hidup selama lebih dari 22 tahun bersama. Pasti memori antara mereka takkan boleh dilupakan begitu saja oleh emak, tambahan lagi ayah sememangnya seorang yang amat memahami dan menyayanginya. Aku semakin redha dengan segala yang tertakdir, baik yang tersurat mahupun yang tersirat. Teringat akan kata-kata ayah dahulu setiap kali menjawab rungutan dari anaknya ini. “Kak Lang, belajar banyak-banyak untuk bersabar, ada sebab ayah suruh Kak Lang. Lagipun, Kak Lang tak suka ke bila orang yang Kak Lang sayang terbela dan gembira?”

Kini, usiaku sudah mengganjak ke 33 tahun. Aku juga sudah pun berumah tangga dan mempunyai sepasang cahayamata. Sememangnya tanggungjawab semakin berat dan kadang-kadang rasa seperti tidak tertanggung. Namun, kusudah ada ubatnya.

8 comments:

ckLah said...

Salam...selamat hari ibu buat umi dan emak mu.

umiyan said...

terima kasih chegu.... sudi jugak mmasuk ke teratak saya nih

umiyan said...

terima kasih chegu.... sudi jugak mmasuk ke teratak saya nih

umiyan said...

terima kasih chegu.... sudi jugak mmasuk ke teratak saya nih

umiyan said...

terima kasih chegu.... sudi jugak mmasuk ke teratak saya nih

syah shah said...

ah, macam terpukul je dengan kata-kata pakar motivasi tu... tak tau kenapa, dedulu macam orang bodoh... bukan tak tahu hukum, tapi sengaja jugak nak tinggal... padahal sekolah agama sampai tingkatan tiga... alhamdulillah jugakla tak berpanjangan jadi bodo cemitu...

insaf insaf insaf

umiyan said...

tu leeeeee....

Yunus Badawi said...

Salam umiyan.

Jgnlah anggap itu satu siksaan w/p ianya mmg menyiksakan. Anggaplah sebagai satu cabaran.

Semoga berjaya mengharungi cabaran2 seterusnya.